Monday, August 22, 2011

Apa Itu 'Tingkap Jauhari'?



Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Selawat dan salam ke atas Rasul Junjungan

Beberapa minggu lepas aku ada berbicara dengan ayahku tentang sikap, karenah dan ragam manusia yang bermacam jenis gaya dan cara. 

Kekadang ada di antara kita yang terlalu mudah nampak keburukan insan lain daripada keburukan diri sendiri.

Aku pernah menghadapi kritikan yang negatif, dan aku dianggap seorang yang berfikiran sempit apabila aku memberikan komen yang agak keras terhadap industri hiburan berkiblatkan barat.

Aku mengaku mungkin selama ini pendekatan yang aku gunakan untuk menegur kesilapan orang lain agak kenservatif sehingga membuatkan ada insan lain yang terguris hati. 

Oleh itu mengikut keadaan masyarakat kini yang mudah terpengaruh dengan budaya hedonisma, aku harus menegur golongan seperti mereka dengan cara tidak langsung dan pendekatan yang bil hikmah(bijaksana).

Tetapi ada sesuatu yang menarik perhatian aku, apabila ada kenyataan negatif seseorang yang membuat aku keliru hingga tidak tahu hendak mengkategorikan kenyataan tersebut sama ada sekadar komen biasa atau pun kritikan untuk cari gaduh.

Perkara itu timbul hanya kerana apabila aku menyebut tentang pentingnya berendah hati, lantas dia berkata dengan nada yang berbunyi,

"Jika 'ilmu tasawuf kita tinggi pasti kita akan menjadi insan yang berendah hati, namun dalam masa yang sama juga kita tidak boleh menyakiti hati dan perasaan orang lain"

Namun aku melihat kritikan mahu komen tersebut dari sudut yang positif. Dan aku menganggap ia adalah hal remeh temeh yang tidak seharusnya diperbesarkan. 

Kerana aku paling tidak gemar membesar-besarkan hal remeh temeh.

"Small mind people always talk about people. Middle mind always talk about items. High level mind always talk about ideas"

Lagi pun mungkin ada kebenarannya apa yang mereka lemparkan kepadaku itu. 

Justeru itu semasa dalam perbualan antara aku dan ayah, ayah menasihatiku dengan berkata,

"Sabarlah apabila kita dikritik atau dikutuk, biarkan sahaja".

"Kekadang ada orang tidak nampak kekurangan mereka sendiri, malahan lebih gemar nampak kekurangan insan lain."

Seperti kata Dr. Abu Hassan Hasbullah yang juga pengasas Zentrum Future Studies,

"Jadikan teguran itu suatu budaya, teguran itu adalah seni".

Lantaran dari itu ayah turut berkongsi sebuah tip untuk mengenali diri yang beliau pernah pelajari suatu ketika dahulu.

Dan kata ayah,

"Inilah konsep mudah muhasabah diri yang dinamakan 'Tingkap Jauhari', yang kebanyakkan manusia tidak mengamalkannya".


K.T. = Kita tahu dan orang lain pun tahu tentang kelemahan, kekurangan, kelebihan, kebaikan dan keburukan yang ada pada diri kita.

K-T = Kita tidak tahu tetapi orang lain tahu tentang kelemahan, kekurangan, kelebihan, kebaikan dan keburukan yang ada pada diri kita.

T.K. = Kita tahu tetapi orang lain tidak tahu tentang kelemahan, kekurangan, kelebihan, kebaikan dan keburukan yang ada pada diri kita.

T-K = Kita tidak tahu dan orang lain pun tidak tahu tentang kelemahan, kekurangan, kelebihan, kebaikan dan keburukan yang ada pada diri kita. Tetapi hanya Allah sahajalah Yang Maha Mengetahuinya.

Semenjak dari itu, aku cuba mengamalkan konsep 'Tingkap Jauhari' yang ayah ajarkan. Dan aku tidak pernah mengsia-siakannya. Ternyata ianya benar-benar berkesan. 

Semenjak dari itu, ianya membuatkan aku berasa mampu menghadapi apa jua kritikan dalam keadaan tenang dan sabar. Serta menjadikan aku insan yang mudah menghormati pendapat orang lain.

Oleh itu mengapa tidak anda cuba mempraktikkan konsep 'Tingkap Jauhari' dalam proses untuk mengenali diri.

Aku berpendapat, seandainya seluruh masyarakat Muslim mengamalkannya, pasti kita semua dapat hidup dalam keadaan harmoni dan lebih berakhlak mulia. 

Seterusnya ummah akan terselamat dari segala bentuk perpecahan yang semakin meruncing sekarang ini. Dan dunia Islam akan lebih indah, bersih dari segala kemungkaran, korupsi, pecah amanah dan sebagainya. Maka ummah akan hidup dalam aman dan makmur.

Kesimpulannya, satu perkara yang kita harus ingat, yang mengetahui segala-segalanya tentang diri kita kita secara mutlak hanyalah ALLAH S.W.T.

Firman Allah S.W.T di dalam ayat 65, Surah An-Naml:
"Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah! Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati)."

Sekian,
  
Khairul Adli Abdullah
http://www.khairuladli.com/2010/03/teguran-itu-proses-mengenali-diri.html

1 comment:

  1. mohon share dan guna olahan tuan berkenaan tingkap jauhari di atas. tq

    ReplyDelete